Selasa, September 16, 2014

Jangan Gunakan Akalmu...!

Ketahuilah hanya ada satu cara / kaedah untuk sampai kepada tahap mengenal diri dan mengenal Allah. Satu-satunya cara atau kaedah itu, hanyalah melalui keredhaan Allah. Dengan pertolongan Allah sahaja, yang membolehkan kita mengenal diri, Allah, sabar, taat dan sebagainya. Tanpa redha Allah tidak kemana cita-cita dan kemahuan kita!. Redha Allah itulah yang diistilah dan yang dikatakan berkat. Biar sedikit asal saja diberkati Allah, sungguhpun banyak jika tidak diberkati Allah maka.... Jangan kejar yang banyak, marilah kita kejar yang berkat, kerana yang berkat itulah keredhaan Allah.
Firman Allah yang bermaksud:-"Dan mintalah pertolongan Allah dengan sabar dan dengan mengerjakan Solat. Al-Baqarah lagi firman Allah "Bersabarlah dan tidaklah kesabaran itu melainkan dengan pertolongan Allah"An-Nahl : 127
Di dalam kaedah menuntut ilmu Allah, kita tidak boleh menggunakan akal untuk sampai kepadanya. Gunakanlah rohani, hanya dengan ilmu rohani sahaja yang membolehkan kita sampai kepada Allah. Baginda Rasulullah SAW, untuk sampai kepada Allah itu, bukan kerana pandai membaca dan menulis. Tanpa pandai menulis dan membaca sekalipun, kita boleh sampai kepada mengenal Allah! Menunjukkan bahwa ilmu Allah itu, bukan boleh diterima melalui bahasa akal! Untuk memahami dan mengajar ilmu Allah, tidak perlu kepada tauliah, sijil, ijazah, baiat, atau belajar diuniversiti Al-Azhar. Ilmu Allah itu adalah bahasa rohani. Itu makanya Rasulullah SAW tidak perlu kepada menulis dan membaca! Hanya kepada keredhaan dan hidayah Allah sahaja, yang boleh membuka hati kita dalam memahami rahsia-rahsia rohani disebalik huruf. Segala bentuk pintar, cerdik, tekun, rajin, sabar dan taat itu bukan datangnya dari kehendak akal, sesungguhnya datang ia dari keredhaan serta kehendak Allah. Oleh itu jangan mudah putus asa, dalam menuju jalan kepadanya. Dalam mencari ilmu mengenal diri mengenal Allah, disamping melalui guru, jangan lupa untuk mencari ilmu melalui kaedah keredhaan Allah. Yang benar-benar boleh membimbing kita, bukannya guru yang mursyid. Guru yang mursyid itu hanya sekadar menuntun atau menunjukkan jalan sahaja. Sebenar-benar yang boleh memberi faham itu adalah Allah sendiri. Hendaklah kita mencari ilmu melalui keredhaan Allah.Firman Allah yang bermaksud:-"Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu"At-Thalaakq : 3
Satu-satunya jalan untuk sampai kepada Allah adalah melalui kaedah ketentuan dan keredhaan Allah. Sampainya kita kepada tahap ilmu mengenal diri mengenal Allah bukan dengan jalan berguru, membaca Quran, sunnah, malaikat atau kepandaian melalui menuntut ilmu. Sampainya kita ke tahap ilmu mengenal diri dan ilmu mengenal Allah adalah melalui ketentuan, ketetapan dan keredhaan Allah sendiri. Itulah makna baginda Rasulullah SAW mengenal Allah dengan Allah. Mengenal Allah itu bukan dengan melalui Malaikat, Quran, guru atau tuntunan makhluk. Mengenal Allah adalah dengan Allah.Oleh itu, jangan kita takjub kepada seorang guru, guru sekadar memberi galah dan sekadar memberi lampu, yang selebihnya, jolok dan suluhlah sendiri melalui kehendak dan keredhaan Allah. Kami berpesan kepada kalian dan kepada diri saya sendiri, jadi guru itu, bukan untuk dipuji atau dipuja, cukuplah sekadar menghormati kepada ilmunya dan bukan kepada orangnya. Jangan dipuja guru itu berlebih-lebihan, kebimbangan takut-takut terjadi riak kepada pihak guru dan takjub kepada pihak murid. Cukuplah bergantung harap segala ilmu itu atas keredhaan Allah. Bagi seorang guru makrifat itu tidak lagi menganggap dirinya seorang guru. Dalam ilmu makrifat itu tidak ada guru dan tidak ada murid. Yang ada hanya sifat IKHLAS. Setelah sifat ikhlas telah menjiwai kedalam hati seseorang guru, bukan lagi murid yang mencari guru, malahan sebenar-benar guru makrifat itu, guru itu sendiri lah yang keluar mencari murid. Bukan timba mencari perigi, malahan telaga gurulah keluar mencari timba murid! Tugas guru itu, hanya sekadar menyampaikan apa yang ada padanya, ilmu yang ada pada dadanya, adalah juga milik Allah. Bukan dari milik si Guru! Yang selebih itu, carilah dalam diri kita sendiri. Sebenar-benar guru itu, adalah diri rohani kita sendiri! Guru zahir itu hanya selaku penyampai ilmu sahaja, sesungguhnya yang memberi faham adalah Allah sendiri.Ilmu makrifat adalah ilmu rohani. Hanya pintu rohani sahaja yang dapat menerima rohani. Pintu akal itu tidak sekali-kali akan dapat menerima dan menilik ilmu rohani, hanya pintu rohani sahaja yang akan dapat menerima dan manilik ilmu rohani. Oleh itu carilah guru yang betul-betul berkebolehan rohani, supaya dapat membawa dan membimbing kita sampai keakhirat, agar kita tidak tersesat olehnya.

Terima Kasih Saudara Serumpunku...